Sunday, 30 October 2011

Istanbul Asia dan Istanbul Eropah!

Menara Galata dan Jambatan Tanduk Emas

Dari bertiga, geng kembara turki kini tinggal kami berdua. Awal-awal pagi lagi Denise sudah bertolak pulang ke Malaysia. Pulang untuk suatu yang bermakna!(sedih jugak sikit-sikit..heh) Kehadiran beliau tidak syak lagi menambahkan rencah perjalanan dan banyak sekali aku belajar daripadanya dari Kapadokya hingga ke Istanbul ini. Selepas kelibat trem yang beliau naiki hilang dari pandangan, terminal jeti Eminonu adalah destinasi yang kami tuju. Kami akan ke Istanbul di bahagian Asia!

Zaki menunjuk skillnya
Kiz Kilesi
Tidak ramai orang di jeti pada pagi itu. Cuaca yang cerah, langit yang biru dan bayu laut yang dingin membibitkan rasa rindu pada kekasih dikampung halaman. (haha..kan best kalau ada seseorang untuk dirindu?). Sama seperti trem, kami perlu membeli jeton untuk menaiki feri yang bakal membawa kami ke jeti Uskudar di bahagian asia. Pertama kali menaiki feri di Istanbul membuatkan kami berasa teruja. Dari feri kami dapat melihat pandangan 360 darjah Istanbul – Golden Horn, Selat Bosphorus, Istana Topkapi, Istana Dolmabahce dan juga Istanbul Asia. Burung camar yang mengejar feri mengigatkanku pengalaman menaiki feri dari Dover ke Calais sewaktu Kelana Convoy dulu.Tiba di jeti Uskudar, kami agak kehilangan arah. Destinasi yang hendak dituju adalah Çamlıça Tepesi, sebuah puncak yang terkenal dimana anda boleh melihat keseluruhan Istanbul dari sini. Nasib baik ketika kami mundar-mandir disitu untuk mencari arah, seorang pemuda yang berada didalam bas turun dari bas tersebut dan bertanya; “Malaysia?” .Wohaaa memang muka orang Melayu senang orang cam..hehe..Akhirnya sampai juga kami ke Çamlıça dengan bantuan pemuda turki yang tidak sempat kami tanya namanya. Tesekkur agbey!
Camlica - Sana Jambatan Bosphorus
Sejuk..
Bersama budak skolah yang tak tahu Malaysia kat mana dan tak kenal Maher Zain

Gadis cantik
Agak ramai orang di Çamlıça Hill sebaik sahaja kami tiba. Rupanya cuti Maulidurrasul J. Ada keluarga yang datang bersantai, ada juga budak-budak sekolah yang buat lawatan dan juga ada majlis keraian diadakan di sini. Oh, di sini memang tempat yang terkenal dengan pasangan yang baru berkahwin megambil gambar juga. Sarapan pagi pada pagi itu: Simit dan Alma cay! Slurrppp. Sejam juga berada di bukit ini, dan selepas itu aku dan zaki balik ke jeti Uskdar. Feri diambil untuk ke jeti Besiktas, di bahagian Istanbul Eropah. Jauh juga menaiki bas dari jeti Besiktas untuk ke Rumeli Hisari. Sempat juga merasa pengalaman ‘ditipu’ menaiki teksi untuk ke sini, takpalah…pengalaman semua tu.hehe. Ok kenapa Rumeli Hisari? Rumeli Hisari ni adalah sebuah kubu pertahanan yang dibina oleh Sultan Muhammad Al-Fateh untuk megawal laluan kapal di selat Bosphorus dan juga dalam usaha baginda menawan Konstatinopel. Pembinaannya siap pada tahun 1452 dan hanya mengambil masa 4 bulan sahaja! Seperti biasa, masuk dikenakan bayaran dan anda boleh memanjat-manjat kubu ini dan merasai pengalaman berada di tempat di mana sebaik-baik sultan dan tenteranya pernah suatu ketika dulu berada.
Rumleli Hisari

Bosphorus Strait dan Fatih Bridge
Rumeli Hisari overlooking Asia
Dari Rumeli Hisari, kami menyusuri ruang pejalan kaki disepanjang Selat Bosphorus. Pemandangan Selat Bosphorus dan jambatan yang merentasinya memang mengasyikkan. Sekali-sekala beberapa buah feri membawa pelancong melalui selat ini - pelancong yang mengikuti pakej Bosphorus yang terkenal itu ( sebab terkenal,harganya mahal, pelancong miskin macam kami tidak mampu :P ). Dalam sojuk-sojuk tu, den gagahkan diri jugak bojalan topi laut tu..mangai…ado jugak orang yang pakai tak cukup kain kat sini..tak sojuk ko apo? Sobonar eh den terpakso yo jalan kaki topi laut ni ha sobab tak jumpo bas. Kalau tak, dah lamo naik bas…ngabih bogheh yo jalan kaki dalam sojuk macam ni..maghah wan amah eh kok donga den jalan dalam sojuk-sojuk ni.buleh domam kato eh (mode Negeri Sembilan menang Piala Malaysia)
Pakcik drebar awesome. Sebelah tangan drive, sebelah lagi terima duit tambang. Repair pintu bas sangkut pun dia jugak!

Ortakoy Camiii

Entah kenapa, jalan raya sesak pula disepanjang laluan tepi selat ni.Sampi di Ortakoy, kami berhenti untuk melawat masjid Ortakoy yang juga terkenal dikalangan pelancong. Yang bagusnya Masjid Ortakoy ni walaupun tempat wudhu’nya berada diluar masjid, tetapi ditutupi penuh dengan kain kanvas yang tebal supaya selesa untuk mengambil wudhu’ dalam cuaca sejuk. Sejuk yang menggeletar tulang! Kenapa masjid ini terkenal? Satu sebabnya adalah masjid ini cantik dan mempunyai seni bina Boroque (pun tak paham amnde Boroque). Terletak di daerah Besiktas dan menghadap Selat Bosphorus, masjid ini diarahkan pembinaannya oleh Sultan Abdul Majid pada tahun 1853. Kawasan sekitar masjid ini meriah dengan pelbagai aktivit pelancongan dengan gerai-gerai menjual cenderahati dan juga gerai-gerai makanan. Tapi ironinya, arak juga dijual digerai-gerai tersebut.
Yildiz Sarayi - tak sempat masuk
Hamidiye Camii, Yildiz
Interior
Sultan Abdul Hamid II bermain-main difikiranku dalam perjalanan menuju ke istana Yildiz baginda. Baginda adalah sultan yang tawaddu’ dan mempunyai roh islam didalam dirinya seperti sultan-sultan pada awal penubuhan empayar Uthmaniyah terdahulu. Cerita tentang sultan ini banyak diceritakan oleh ustaz Hasrizal didalam blognya, khusunya ketika kembara beliau dibumi Turki dahulu. Sultan Abdul Hamid II naik takhta pada 31 Ogos 1876 pada waktu khilafah semakin lemah dan menerima ancaman dari luar (yahudi freemason, british, pemberontakan di Balkan, perang dengan Russia etc) dan dalam negeri (Young Turk, Pertubuhan Ittihad Wat Taraqqi, etc). Empayar Uthmaniyah pada masa itu juga mempunyai hutang luar negara yang banyak. Peluang ini diambil oleh Teodr Hezl (ketua Yahudi Antarabangsa yang berusaha untuk membentuk negara Israel di Baitulmaqdis) dengan menawarkan kepada sultan untuk membayar semua hutang Uthmaniyah sebagai pertukaran kepada tanah di Palestin. Jawapan baginda atas tawaran ini?

“Palestin bukan milikku, bukan milik bangsa Turki, tetapi milik bangsa Arab. Baitul Maqdis pula bukan milik bangsa Arab tetapi milik umat Islam seluruhnya. Aku tidak akan sekali-kali menyerahkan bumi Palestin walaupun sejengkal setelah bangsaku berjihad bermati-matian mempertahankan dan menyuburkan tanahnya dengan darah-darah mereka. Simpanlah wang kamu yang berjuta itu, kerana sekiranya suatu hari nanti Khilafah Islamiah ini tumbang, kamu boleh mengambilnya tanpa sebarang wang tukaran. Adapun sekiranya aku masih hidup, aku lebih rela diriku di cincang daripada melihat bumi Palestin dikeluarkan dari Daulah Islamiah dan perkara itu selama-lamanya tidak akan berlaku. Adakah kami akan membenarkan diri (wilayah-wilayah Kerajaan Khilafah Uthmaniah) kami ini semua dipisah-pisahkan sedangkan kami masih hidup?!”
 
Gambar Sultan Abdul Hamid II semasa digulingkan
Akibat tekanan yang maha hebat dan komplot yahudi untuk menjatuhkan khilafah, maka pada malam 27 April 1909 empat orang utusan mewakili Parlimen Turki atas desakan Ittihad Wat Taraqqi menggulingkan sultan. Pada malam itu juga sultan dan seluruh keluarga baginda dibuang ke negara Salunik, tempat tinggal Yahudi sebagai penghinaan atas penolakan sultan kepada permintaan-permintaan yahudi sebelum ini.Begitulah sedikit sebanyak sejarah tentang baginda yang aku tahu. Dan ada semacam persaan sayu apabila aku duduk dihadapan masjid dan cuba membayangkan sultan berulang alik solat Masjid Hamidiye Yildiz yang terletak tidak jauh dari pintu masuk istana baginda. Baginda pernah menasihati dengan penuh kasih sayang puteri baginda sewaktu melintasi masjid ini.

“Anakku, ayah melihat orang-orang di sini sudah mulai memuji paras rupa dan kecantikanmu. Maka mulai hari ini ayah ingin kamu mengenakan hijab dengan sempurna, kerana kamu sudah menjadi wanita dewasa sekarang.”

Sultan Abdul Hamid II : Setahun sebelum digulingkan
Semasa diusir keluar dari Istana Yildiz
Sultan dalam buangan di negeri yahudi - Salonika

Dihadapan masjid ini juga, pernah terjadi cubaan membunuh sultan apabila kereta kuda baginda diletakkan bom yang berlaku selepas solat Jumaat. Bagaimanapun dengan kehendak Allah, sultan terselamat dari perancangan jahat ini. Setelah beberapa ketika, kami beransur dari masjid yildiz dan sejarahnya yang menyedihkan. Dari sana, kami menaiki bas ke Taksim sekali lagi, tetapi kali ini pada waktu malam. Usai dari Taksim, pengalaman ditipu membuatkan kami lebih berhati-hati untuk menghadapai hari yang seterusnya.
Stesen Sirkeci menjadi saksi Sultan Abdul Hamid II dan keluarga baginda menaiki tren dalam buangan ke Salonika
(p/s: setelah kejatuhan khilafah uhmaniyah, yahudi akhirnya berjaya menakluk dan menduduki palestin hingga ke hari ini...)

Nantikan penutup kembara Turki dalam post seterusnya..

1 comment:

  1. Hi Syahir, Nice nukilan, never knew you like to write..tapi bestnyer..travel merata..sronoknya if dapat join..anyway..bagi lah tips travel cheap..hee :)

    ReplyDelete